Artikel 1:
Kemahiran Pembelajaran Abad ke 21:
Teknik Pembelajaran Berpenyertaan
(Johan Anugerah Pensyarah Inovatif IPG, Zon Sabah 2011)
Abstrak
“.. modal insan adalah harta yang boleh disuntik nilai tambahnya, diinjak nilai inteleknya serta diperbanyak modal budayanya.” [Standard Guru Malaysia,2009] Maka, penggunaan kaedah dan teknik yang pelbagai akan menjadikan sesuatu pengajaran itu menarik dan seterusnya meningkatkan kemahiran pelajar dalam mengaplikasi apa yang dipelajari dalam bilik darjah ke dalam kehidupan seharian. Kertas kerja ini akan memaparkan kupasan kepentingan guru meningkatkan kemahiran Pembelajaran Abad ke 21 dalam pengajaran dan pembelajaran yang digarapkan dalam bentuk naratif. Seterusnya mengetengahkan projek inovasi yang memenangi Anugerah Guru Inovatif peringkat Kebangsaan serta impilkasinya terhadap pengajaran dan pembelajaran sebagai contoh perlaksanaan teknik Pembelajaran berpenyertaan yang telah diaplikasikan dalam bilik darjah. Kertas kerja ini merupakan satu refleksi tindakan penambahbaikan yang dilakukan dari semasa ke semasa untuk memantapkan kualiti pengajaran dan pembelajaran oleh guru melalui kreativiti dan inovasi.
Artikel 2:
Pelajar Kreatif, Guru Inovatif
(Penulisan Ilmiah : Kreativiti Dan Inovasi Dalam Pengajaran & Pembelajaran)
Refleksi
Apabila kami mengajukan soalan bagi bertanyakan sesuatu, cikgu enggan menerangkan pada kami. Pelbagai alasan yang diberikan. Cikgu mengatakan:
"Anda tidak menumpukan perhatian dalam kelas."
"Anda memang malas belajar, itu sebab tak faham."
"Kamu memang murid yang sukar belajar dan sering menggangu kelas”
Kami risau dan tidak tahu apa yang perlu kami lakukan. Kami sering berfikir tentang nasib diri kami. Kami ingin mengetahui bagaimanakah kami boleh belajar dengan baik. Apakah permintaan kami ini amat sukar dipenuhi?
Semasa kami berada di kelas, kami sering dimarah dan disindir. Kami rasa tidak seronok untuk ke sekolah. Kami sering diejek dengan pelbagai gelaran. Ada yang mengatakan kami bodoh. Lebih menyedihkan apabila mereka melabel kami murid bermasalah dan memanggil kami nakal dan tolol. Kadangkala kami tidak tahan dengan ejekan mereka, lalu kami terlibat dalam pergaduhan. Namun apabila perkara ini berlaku, kami juga disalahkan. Kami dikatakan degil, suka melawan, agresif dan pelbagai lagi. Kami tidak faham.
Kami tidak tahu apa yang perlu kami lakukan. Kami hanya dibiarkan berada dalam dunia kami sendiri. Kami ingin meluahkan apa yang terbuku dalam hati tetapi kami tidak tahu dengan siapa perlu kami mengadu. Kadangkala kami menangis sendirian.
Demikianlah keluhan sebahagian pelajar yang telah dinafikan haknya untuk belajar di dalam kelas.
(Bersambung: Penulisan Penuh tentang Kreativi dan Inovasi dalam P&P)