26 April 2012

Dulu seorang Guru.... kini Pelajar


Salam.. hampir 2 bulan tak menjenguk ke laman ini. Dalam keadaan menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu. Kini hampir 4 bulan aku dah mula meninggalkan gelanggang bilik darjah. Dan dalam tempoh itu jugalah aku dah mula kembali menjalani kehidupan dalam dunia baru. 
                
                 Jika dulu awal pagi aku penglipur di bilik darjah. 
                 Hari ini di awal pagi, aku membuka lembaran buku mencari penglipur
                 Jika dulu awalan kelas dengan leteran buat itu buat ini
                 Hari ini awal-awal lagi, aku diminta siap itu, siapkan ini
                 Jika dulu suara di segenap penjuru kelas, isi cerita dongengan padat berilmu
                 Hari ini suara itu hilang dalam timbunan buku, isi minda cerita seribu derita
                 Itulah dulu.... Tak akan sama hari ini walaupun laluannya masih sama...

            Sekadar berkongsi cerita, rupanya dalam dunia pendidikan ini masih banyak ruangan dan peluang yang masih belum kita terokai. Mungkin jika tidak kerana menjadi pelajar sekarang, aku masih berada dalam dunia yang sama (seorang guru: masuk kelas mengajar, keluar kelas semak buku latihan, ke padang sukan, unit beruniform) Dua bulan bersama buku-buku ilmiah, jurnal membuka minda tentang bertapa tertinggalnya aku dalam menyelusuri persada ilmu.

            Buat anak-anak didik ku yang bakal menyiapkan latihan ilmiah (Penulisan Penyelidikan) bagi memperlengkapkan syarat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, ingin cikgu kongsikan satu ilmu bagi memudahkan penulisan serta kajian kalian. Semasa membuat Kajian Literatur, buatlah dalam bentuk Meta Analisis, dari sana kalian dapat melihat dengan jelas di mana ruang dan peluang untuk menambah baik proses pengajaran dan pembelajaran yang sedia ada. Dari sana jua lah kalian dapat mengenalpasti masalah serta halangan dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran.

 Melalui Meta Analisis ini juga kita dapat melihat pelbagai kaedah serta cara yang dapat digunapakai dalam meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran kita. Malahan kita dapat mengabungjalin pelbagai idea serta kaedah yang digunakan oleh guru-guru lain. Adakalanya juga kita menemui kaedah yang telah lama disarankan tapi kita tak pernah endah sebab dah terlalu terikat dengan cara yang sama.

             Bukan apa, agar kajian yang kalian lakukan lebih bermakna dan memberi sumbangan. Keluarlah dari kepompong yang asyik melaksanakan kajian-kajian yang telah lama dilakukan dan kalian hanya memperbaharuinya dalam situasi yang lain namun tindakan tetap sama.Jika itu yang berlaku, maka selamanya lah pendidikan negara kita berada ditakok yang sama. 

IsyaAllah.... dalam kesempatan yang ada, sesekali akan aku coretkan pengalaman menjadi guru.... pengalaman menjadi pelajar. Semoga anak didik aku dapat menyelusuri jalan-jalan ini ke arah kecemerlangan diri.

           

No comments:

Post a Comment