26 January 2012

Beginikah?

Dalam keterbiasaan, melewati jam 7:30am, aku bersarapan di kedai berhampiran dengan rumah kemudian bergegas stesen LRT yang mengambil masa kira-kira 7-10 Minit berjalan kaki. Bersandangkan beg komputer serta buku ilmiah yang ku bawa (8-12kg jua beg nie) aku akan berhimpit-himpit bersama ribuan orang menaiki LRT menuju destinasi masing-masing. Ada yang kerja, ada yang belajar dan mungkin jua ada yang berjalan-jalan. 
Pantang Ada tempat kosong, pasti aku akan berebut-rebut untuk duduk. Kekadang tu terlupa tempat tu khas untuk mereka yang memerlukannya. "Aghh! Peduli lah! Penat tau untuk berdiri bagi melewati 12 stesen, yang mengambil masa 35 Minit untuk sampai Ke Stesen Universiti" Dapat jua la aku layan tido masa tu.  sesekali aku tersenyum sendiri bila mengingatkan iklan berilah tempat kepada mereka yang memerlukannya. "Boleh aku buat begini?'
"Penat betul jalani kehidupan di KL ni?" bisik hatiku. Awal pagi berebut-rebut, Malam nanti jua akan berebut-rebut, berasak-asak.. Kota Metropolitan ini tak pernah tido!.
"Beginilah perjalanan saya setiap hari" sampuk salah seorang penumpang yang boleh ku panggil Pak Cik. Saban Hari aku akan bertembung dengannya. Dia bekerja sebagai Pengawai Keselamatan di Universiti Malaya (UM). Sebaik saja sampai, kami pasti akan berkejar-kejar dari Stesen Universiti, untuk mendapatkan Bas Rapid KL bagi tujuan ke UM.. Lewat seminit saja, kami pasti ketinggalan bas tersebut. Maka terpaksalah menunggu 30-40 minit berikutnya. Beginilah sistem Pengangkutan Awam di bandaraya besar seperti KL. Cekap dan lengkap! Cuma perlu pandai untuk mengikut jadualnya. 
Begini rupanya! 
Sebaik saja sampai di UM, aku terus berjalan menuju ke Fakulti Pendidikan untuk menemui penyelia. Walaupun jam baru menunjukkan 8:45am, sedangkan temujanji ku jam 10:30am, aku datang awal dan menunggu di Lobi Fakulti Pendidikan sambil membaca Artikel jurnal yang telah aku upload beberapa hari yang lepas. Aku perlu bersedia untuk berbincang dengannya tentang perkembangan penulisan proposal aku. Terdapat kekakang untuk aku menulis. Artikel yang aku perolehi terlalu sedikit dan terhad. 

24 January 2012

Perjalanan

Ramai yang percaya "Perjalanan bermula dengan langkah pertama" tapi bagi aku- "ia bukan suatu syarat utama!". Perjalanan aku untuk menamatkan pengajian 3 tahun ini, tidak pula bermula dengan langkah yang pertama!
"Banyakkan membaca jurnal dan kajian-kajian lepas. Mulakan dengan bab dua: sorotan kajian," kata penyelia ku sambil melakarkan sesuatu dalam sehelai kertas. Aku termanggu.. "Kalau mau buat PHD, mulakan dengan bab 2!" soal hati ku. "Ceh! Aku punya proposal langsung tak ditengok! Terus saja minta aku buat bab 2,"bentak hati ku. Walau apapun, aku akur dengan permintaannya... kerana penyelia ku seorang yang berpengalaman. pasti dia ada alasan untuk itu!
Justeru, sepuluh hari aku berulang-alik ke perpustakaan: makan, tido (kadang-kadang dalam perpustakaan atau LRT kerana keletihan), duduk, bangun dalam perpustakaan UM. Kini aku mula memahami akan maksudnya. Melalui pembacaan, kita akan mula melihat dunia penyelidikan dengan lebih luas. Makin banyak kita membaca jurnal-jurnal dan penyelidikan-penyelidikan, makin kita pening! makin kita tak faham! "aghhh susah la kalau begini!"
Tapi, itu la ilmu, semakin kita mencari semakin luas kita akan menemuinya. Sesungguhnya Ilmu Allah tak terjangkau oleh akalku. Hari ini, aku cuba berusaha untuk memulakan perjalanan... memulakan penulisan... walaupun sesekali aku menemui jalan buntu dalam perjalanan ini! Doa ku semoga segalanya dipermudahkannya!

23 January 2012

Tersembunyi yang Terselindung

Seminggu menjalani hidup di Lembah Klang, meninggalkan Lembah Pinokok membuka seribu satu cerita. Dalam menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar tua, aku saban hari akan berulang alik dari Taman Melati, Gombak untuk ke Universiti Malaya. Perjalanan menggunakan LRT mengambil masa 30-40 minit untuk ke Stesen Universiti, kemudian menggunakan Bas Rapid KL untuk ke UM antara 5-10 minit. Rutinnya antara jam 7-830am aku akan berebut-rebut menaiki LRT dan pulang antara jam 8pm-9pm. Sesungguhnya yang tersembunyi biarpun terselidung hanya akan ketara bila kita sendiri melaluinya. Benar kata orang: "pengalaman mematangkan kehidupan. Biarpun gah namanya Lembah Klang, indah pada pandangan, tersembunyi luka-luka warganya - rumah puluhan tingkat, sayangnya lif satu. Rumah beribu unit, sayangnya pakir satu. Rumah cantik dicat luaran, sayang dalamnya bertemu dinding. 
Tak dapat terselindung lagi, dalam meneruskan kehidupan LRT penyambung kehidupan. Tampak cantik menjalar memenuhi ruangan kota, sayang warganya berhimpit bertemu muka mencari ruang bernafas didalamnya. Sapa tahu kalu tidak melaluinya. sesungguhnya yang tersembunyi tak mungkin terselindung kalau kita melaluinya. Sesekali terasa sedih melihat himpitan ini dalam kelompok warna sendiri. Lain yang dilaung... lain yang dipapar. Sayang kita masih terus diulik Drama Hidup Mewah dikaca TV.. ke mana hilangnya realiti?
Pesan pada diri: "kalau sirih pulang ke junjung, di mana kita di bumi sendiri?"

21 January 2012

Perlukah?

Perlukah aku meneruskannya... lagi dibaca, lagi tak faham
Perlukah aku duduk diam.... lagi ditenung, lagi kabur pandangan
Perlukah aku terus melayan... lagi disapa, lagi menghilang
Perlukah aku berhenti disini saja... lagi difahami, lagi pening..
Perlukah semua ini? aghhhh makin berpusing dunia ini... susah jua rupanya bila nak membaca, memahami dan menghayati sesuatu sebelum dapat mengarang sesuatu...
Pesan pada diri: "mengalirlah seperti air, biarpun sedikit alirannya, lama-lama bertakung jua di muara"

ops... LRT?

Mungkinkah sampan menjadi bot?
Mungkinkah kereta menjadi keretapi?
Mungkinkah kapal terbang menjadi roket?
Segalanya menjadi mungkin jika adanya kemahuan?
Bagaimana?
Persoalan ini terus memungkinkan kita mencari alternatif?

20 January 2012

Lembah Pinokok ke Lembah Kelang

Coret ini, sekadar coretan seorang tua yang kembali meletakkan tanda nama sebagai pelajar. Bila aku menoleh kebelakang, dah telalu jauh aku meninggalkan dunia universiti... hampir 13 tahun. Seingat aku, pertama kali mendaftar di UKM 1998, sebagai pelajar, segalanya diuruskan dengan berjalan kaki. Ke sana ke mari bersama kawan-kawan terutamanya masa itu, Mosfi, Pok Cik, Pok Sang, Lan Awal pagi kami akan berjalan dari Kamsis Rahim Kajai  ke kuliah di Fakulti Ekonomi. Jaraknya boleh tahan, jua kalu jalan kaki. 
Kini, tahun 2012, aku kembali melewati zaman itu, cuma bezanya, aku ni pelajar tua, sesekali berjalan kaki untuk menaiki tangga fakulti terasa me"ngah"nya... mula la bernafas melalui idung.. 
Jika dulu aku di UKM, kini aku pelajar di UM.. 
Jika dulu, aku mampu berlari mengejar bas dalam ujan di UKM untuk keluar membeli barang-barang keperluan di Kajang, kini biar saje la ujan tu membasah diri, aku dah terasa penat untuk berlari mengejar LRT mahupun bas Rapid KL..
Jika dulu, aku berasak-asak dalam bas untuk pulang ke Kamsis Rahim Kajai dari Kajang.. kini, mahu tak mahu, penat atau tidak aku perlu berasak-asak dalam LRT untuk pulang ke penginapan.. 
Jika dulu, aku boleh menaiki motorsikal PBM1349 bersama kawan-kawan untuk ke Kuala Lumpur berulang kali biarpun jaraknya melewati 40KM, Kini dah mula terasa sengal badan bila naik motor dalam jarak yang begitu jauh. 
Namun pesan pada diri.. "Aku kini seorang pelajar"
Kerana sungguhpun keadaan berbeza, ceritanya tetap sama. Pada aku, "adat belajar" dan "adat berguru" tak pernah berubah. Untuk belajar kita perlu lapangkan dada - sedia untuk berkorban dan ikhlas untuk menuntut ilmu kerna ada kalanya kita tercabar - menunggu, penat, pening, lapar, dahaga, berjalan kaki ke sana ke mari, duduk mengadap buku berjam-jam.

 Justeru sebagai mengingat diri " Kita Belajar umpama kapal terbang.. Semasa ia mula berlepas (take-off) kita mula nampak pemandangan yang cantik, semakin tinggi ia terbang semakin luas pemandangan kita, namun kita jangan cepat mendarat (touch-down).. teruskan penerbangan, dapatkan seluas mungkin pemandangan tersebut.. bila dah pasti landasannya maka mendaratlah dengan selamat. Sesungguhnya Semakin tinggi terbang, semakin luas pemandangannya, namun semakin sakit telinga kita akibat tekanan. Itulah cabarannya.."
 "Patah sayap terbang jua"