3 November 2012

Menoleh Ke Belakang..

Lama jua aku tak menulis.. Kesibukan sebagai sebagai seorang pelajar pada usia ini membuatkan aku kekadang kehilangan masa tanpa disedari... Sesekali aku menoleh kebelakang... Telah jauh aku tinggalkan langkah-langkah aku di bumi bertuah Sabah.
 
Kesibukan menjalani rutin sebagai pelajar membuatkan terlupa sejenak tentang jejak-jenak kat Kota Kinabalu. InsyaAllah, klu ada kelapangan aku akan menjengah jua kawan-kawan di sana. Bertanya kabar,  berkongsi cerita. Agak lama jugak tak dengar citer kawan-kawan kat IPG. Cerita anak didik yang tak lama lagi akan bergelar guru. Cepat masa berlalu, dah hampir 4 tahun rupanya.

4 May 2012

Guru Cemerlang vs Pensyarah Cemerlang

Dua tiga hari nie, penuh di FB tentang cerita-cerita Iklan Permohonan "Guru Cemerlang @ pensyarah Cemerlang". Sekali lagi bertanya, layakkah untuk memohon? kenapa kriteria GC ngn PC hampir sama saja? Mengapa Perlu PC menggunakan alat yang sama untuk menyukat?

Walau apapun, mudah saja.. Mohonlah....... mana tau rezeki kita ada disitu, bak kata seorang kawan:
"biarpun dimata orang kita tak cemerlang tapi dimata penilai kita cemerlang! atau sebaliknya dimata orang kita cemerlang namun dimata penilai kita belum cukup cemerlang untuk menjawat jawatan tersebut"

Itulah, bila keluar keputusan, nama kita entah dimana tercicir atau mungkin yang selama ini tak disedari kecemerlangnya tetiba membuat kejutan.

"Usah dipersoal kerja pemantau. Sebab dibahunya terletak tanggungjawab yang maha besar, salah menilai, sehingga mati dia menanggung akibatnya" kata seorang ustaz kepada ku.

Memang diakui, tugas  guru mesti ikhlas menjalankan tanggungjawab, tapi penghargaan dan pengiktirafan terhadap kerja kita pastinya akan membuatkan kita lebih berdedikasi menjalankan tugas. Tambahan dalam keadaan dunia pendidikan yang kian mencabar dengan karenah pelajar yang semakin merimaskan.

Justeru, lengkapkan borang permohonan GC atau PC sungguhpun ia menjangkau 30-50 muka surat perlu ditaip segala maklumat selama 3 tahun kebelakang berkhidmat. Belum ditambah dengan sijil-sijil dan dokumen-dokumen sokongan yang perlu disertakan. Tahun lepas aku menghantar 50 muka surat bertaip dan hampir 120 dokumen sokongan yang diperlukan.

 "Jangan rasa terbeban sebab borang ini akan dinilai oleh panel pada peringkat pertama" pesan Pn Teresa,  YDP MGCS semasa Taklmiat Grooming GC di Brunggis Resort , Papar dua tahun lepas.

Itulah semasa mereka datang memantau, mereka hanya akan mengesahkan semua yang kita sertakan. Walaupun, akhirnya orang yang hanya menghantar 10 muka surat dan 3-5 dokumen sokongan itu yang dapat jawatan PC bagi lantikan 2011. Jangan berputus asa.

 "bukan rezeki kau pada tahun lepas, cuba lagi tahun ini" kata beberapa kawan di IPG Kent. Sekali lagi ayat yang dilemparkan oleh pemantau diakhir penyeliaannya bermain-main difikiran ku: "Cikgu muda lagi, boleh cuba mohon tahun hadapan". Untuk dua tahun berturut-turut aku mendapat ayat ini, tanpa sebarang perubahan struktur ayatnya.

Persoalanya, Perlukah untuk aku melalui tempoh pemantauan yang amat panjang (8am-6pm) sekali lagi? Setelah melihat dengan sendiri dihadapan ku, seorang yang dipantau 30 minit, dengan 10 muka surat borang PC serta 3-5 fail yang dipinjamkan dari seseorang telah mendapat jawatan tersebut pada tahun lepas? Sukar dipercayai tapi itulah hakikat yang perlu dipercayai dalam penilaian GC atau PC ini.

Sekali lagi, kata kawan: "Cuba lagi, tak salah untuk mencuba!" "Tu la namanya cemerlang! tak perlu banyak kerja (Buat kerja bidang tugas sahaja), banyak fail, banyak penulisan dan banyak penyelidikan" kata seorang hamba Allah kepada ku setelah aku berkongsi kekecewaan ini dengannya. Tah! Adakah ia satu sindiran atau betul nasihatnya? Sukar untuk aku fahami!

Bermain diminda- "Perlukah aku mohon lagi untuk tahun ini? ha ha ha ha ha.."

26 April 2012

Dulu seorang Guru.... kini Pelajar


Salam.. hampir 2 bulan tak menjenguk ke laman ini. Dalam keadaan menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu. Kini hampir 4 bulan aku dah mula meninggalkan gelanggang bilik darjah. Dan dalam tempoh itu jugalah aku dah mula kembali menjalani kehidupan dalam dunia baru. 
                
                 Jika dulu awal pagi aku penglipur di bilik darjah. 
                 Hari ini di awal pagi, aku membuka lembaran buku mencari penglipur
                 Jika dulu awalan kelas dengan leteran buat itu buat ini
                 Hari ini awal-awal lagi, aku diminta siap itu, siapkan ini
                 Jika dulu suara di segenap penjuru kelas, isi cerita dongengan padat berilmu
                 Hari ini suara itu hilang dalam timbunan buku, isi minda cerita seribu derita
                 Itulah dulu.... Tak akan sama hari ini walaupun laluannya masih sama...

            Sekadar berkongsi cerita, rupanya dalam dunia pendidikan ini masih banyak ruangan dan peluang yang masih belum kita terokai. Mungkin jika tidak kerana menjadi pelajar sekarang, aku masih berada dalam dunia yang sama (seorang guru: masuk kelas mengajar, keluar kelas semak buku latihan, ke padang sukan, unit beruniform) Dua bulan bersama buku-buku ilmiah, jurnal membuka minda tentang bertapa tertinggalnya aku dalam menyelusuri persada ilmu.

            Buat anak-anak didik ku yang bakal menyiapkan latihan ilmiah (Penulisan Penyelidikan) bagi memperlengkapkan syarat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, ingin cikgu kongsikan satu ilmu bagi memudahkan penulisan serta kajian kalian. Semasa membuat Kajian Literatur, buatlah dalam bentuk Meta Analisis, dari sana kalian dapat melihat dengan jelas di mana ruang dan peluang untuk menambah baik proses pengajaran dan pembelajaran yang sedia ada. Dari sana jua lah kalian dapat mengenalpasti masalah serta halangan dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran.

 Melalui Meta Analisis ini juga kita dapat melihat pelbagai kaedah serta cara yang dapat digunapakai dalam meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran kita. Malahan kita dapat mengabungjalin pelbagai idea serta kaedah yang digunakan oleh guru-guru lain. Adakalanya juga kita menemui kaedah yang telah lama disarankan tapi kita tak pernah endah sebab dah terlalu terikat dengan cara yang sama.

             Bukan apa, agar kajian yang kalian lakukan lebih bermakna dan memberi sumbangan. Keluarlah dari kepompong yang asyik melaksanakan kajian-kajian yang telah lama dilakukan dan kalian hanya memperbaharuinya dalam situasi yang lain namun tindakan tetap sama.Jika itu yang berlaku, maka selamanya lah pendidikan negara kita berada ditakok yang sama. 

IsyaAllah.... dalam kesempatan yang ada, sesekali akan aku coretkan pengalaman menjadi guru.... pengalaman menjadi pelajar. Semoga anak didik aku dapat menyelusuri jalan-jalan ini ke arah kecemerlangan diri.

           

12 March 2012

Terbang Kinabalu Terbang


             Coretan ini sekadar lakaran cerita suka duka saya selama 12 tahun dalam dunia pendidikan. Tak terlintas untuk menyakiti hati sesiapa, hanya Coretan buat anak didik saya yang bakal menyelusuri kanvas pendidikan. Ada kalanya yang terlakar di muka kanvas, nampak cantik. Tak siapa tahu dibelakang kanvas ini,banyak warna yang tertumpah dan berus-berus yang patah. Sekilas memandang Ke belakang, banyak cerita tentang perjawatan dalam profesion keguruan ini boleh saya kongsikan bersama guru-guru atau bakal guru untuk tidak mudah mengalah jika sesekali kanvas Kita tertumpah warna atau berus yang Kita gunakan patah.
           Tahun 2005, saya pertama Kali mengisi borang Kenaikan pangkat sebagai guru cemerlang setelah cukup syarat iaitu 7 tahun berkhidmat. Itupun setelah diarahkan oleh Pn Pengetua. Kalau diikutkan hati, malas untuk aku mengisi borang-borang sebegini. Seperti mana yang diketahui, Kita sebagai guru selalunya rasa terbeban untuk mengisi borang yang memerlukan terlalu banyak maklumat. Pengalaman saya untuk memperlengkapkan borang permohonan guru Cemerlang ini, cukup memeritkan. Ini kerana saya perlu mengisi segala maklumat perkhidmatan serta penglibatan saya 3 tahun kebelakang bersertakan dengan dokumen-dokumen sokongan.
         Tak cukup dengan ini, saya juga dikehendaki mengarang 4-5 esei berdasarkan soalan yang diberikan! "siapa la yang rekabentuk borang permohonan ini?" macam tak mau bagi orang Naik Pangkat!" saya mengomel sendirian. Tanpa sebarang pendedahan atau makluman Dari guru-guru senior (walaupun masa itu di sekolah saya ini Ada 3 orang guru Cemerlang) "lengkapkan saja borang-borang tu, nanti nazir datang pantau".. Jawapan seringkas itu yang sering diterima apabila aku bertanya! Tanpa memahami apa2 tentang jawatan guru Cemerlang itu, aku menghantar borang tersebut! 
        Selang 2 bulan, saya menerima panggilan telefon daripada Jemaah Nazir Bahagian Sandakan bahawa mereka mahu datang untuk memantau! "sediakan 2 waktu P&P untuk pencerapan Dan apa2 yang berkaitan" katanya. "esok kami datang" sambungnya lagi sebelum menamatkan panggilan. Aku terpinga-pinga..."apa-apa yang berkaitan?" 
        Seperti yang diketahui umum, kedatangan Jemaah Nazir, amat digeruni!.. Bermula jam 6:45am mereka sudah berada di Sekolah. Mulanya aku diminta menunjukkan semua documen sokongan yang aku telah catatkan dalam borang permohonan sebagai bukti penglibatan aku.
      "Cikgu, tolong bagi kami buku latihan Dan buku nota kelas yang Cikgu ajar!" pinta salah seorang Nazir. "buku-buku tu semua Ada dengan pelajar, boleh saya keluar Ke kelas untuk mendapatkannya?" balas aku lalu berlalu pergi. Seperti sedia maklum, jika kita mengajar di kelas yang lemah, pastinya masalah utama adalah mendapatkan buku-buku latihan yang lengkap. Ada saja yang tak bawa buku latihan, tak siapkan latihan Dan tidak membuat pembetulan. 
      "Cikgu mengajar berapa kelas? Ini saja buku nota dan latihan yang Ada?" dengan nada yang tegas sambil menghempas beberapa buah buku yang dapat aku kumpulkan! 
      "Maafkan saya puan, Hari ini, saya tak Ada kelas Ekonomi, jadi pelajar saya tak bawa buku! Saya tak sempat maklumkan kepada pelajar saya semalam sebab saya menerima panggilan telefon daripada puan jam 3 petang, pelajar saya dah pulang." jawabku!
      Setelah semua documen serta fail-fail yang diminta aku berikan untuk disemak. Kini tiba masa yang paling aku takuti : memantau P&P. Walau apapun, aku mengajar seperti yang biasa yang aku ajar! Aku nak ketawa aku ketawa, aku nak marah, aku marah... Dan aku nak mengutuk aku kutuk. Mulanya aku agar kekok sebab diperhatikan oleh 3 orang yang duduk di belakang kelas. Pelajar aku jua begitu, namun setelah 20 minit berlalu mereka dah menjadi biasa.
     Selesai sesi P&P, beberapa orang pelajar aku lihat dipanggil oleh Nazir.. "oo Ada sesi temuduga pelajar pulak!" bisik ku. Selepas itu, aku diminta untuk tunggu di bilik gerakan (mesyuarat) sementara mereka menjalankan sesi temubual dan soal selidik dengan rakan-rakan guru yang mereka sendiri pilih. Seperti yang diduga, mana ada pemantauan P&P yang tak kena komen. 
     Hampir 3 jam aku dikuliahkan cara-cara mengajar yang betul dan berkesan. Seringkali aku berhujah menidakkan pandangannya:- sebab kelas yang aku ajar, kelas paling hujung dan sekolah ini, semua lelaki. Pastinya cara mengajar berbeza dan tak semua teori boleh diaplikasikan!
     Akhirnya, tepat jam 5 petang, sesi yang menyiksakan ini tamat! Aku sedar banyak yang perlu aku perbetulkan jika ingin menjadi Guru Cemerlang! Jauh disudut hati aku, berdasarkan pemantauan hari ini, aku masih belum layak untuk jawatan guru Cemerlang! Biarpun aku telah memenangi johan Anugerah Guru Inovatif Kebangsaan bagi tahun :- 2003, 2004 dan 2005.. Kecemerlangan aku belum melayakkan diri ini untuk jawatan itu!
    "Kalau mengukur biarlah padan; kalau menguji biarlah tepat, kalau menilai biarlah ikhlas", kata cikgu Basirun keesokkan harinya bila mendapat tahu yang aku dipantau seharian. Aku hanya mampu menghadiahkannya sebuah senyuman. Hampir 3 bulan, tiada apa2 berita tentang GC. Aku terima seadanya, sebab aku tau yang aku masih belum layak untuk jawatan tersebut! Biarpun Sesekali aku menoleh kebelakang, aku mungkin tak mampu untuk terbang setinggi itu. Aku kagum dengan mereka yang bergelar GURU Cemerlang sesungguhnya kalian sangat berkualiti. Itulah anggapan aku setelah melalui sesi pemantauan ini.

4 February 2012

Cantik- cantik bunga Kemboja, Cantik lagi bunga taik Ayam...

Hari ini Akan Akan pulang Ke Tanah tumpahnya darahku.. Sesungguhnya.. Banyak yang akau makin mengenali erti hidup melalui odesi ini..

3 February 2012

Odessey... Phuket... Mungkin bukan sesuatu yang asing buat kita bila menyebut "Jauh Perjalanan Luas Pengalaman".... Semakin banyak Kita meneroka, semakin Kita memahami erti hidup"... Hari kedua berada di bumi Fantasi Gajah Putih, ini membuka mata, menunduk hati untuk mensyukuri rahmat-Nya. Kita sering dimomok dengan slogan "Rakyat Malaysia kaya dengan budi pekerti.. Atau sentiasa mengalukan kedatangan tetamu! " Pastinya saya yang sememangnya rakyat Malaysia, pasti tersenyum! Hakikatnya.. Biarpun bumi Fantasi Gajah Putih ini, mengejutkan adat budaya Ketimurannya... Di mana jua Kita pasti disapa dengan senyuman Dan ungkapan "swadikap"... Berbahasa dengan lembut dan mesra.. Ini Sukar untuk ditemui di negara sendiri. Di mana bezanya Kita?
        Budaya Ketimuran sama? Duduk dalam serumpun? Pergilah dimana2 di Malaysia.. Sukarnya orang Kita menyapa dengan baik jika ditanya.. "nak makan apa?" itulah soalan yang ditanya tanpa senyuman.. Belum sempat dijawab, kadang-kala telah berlalu pergi. Itu cerita tentang budaya. Semakin Kita meneroka, dalam ordesi ini, jangan tutup hati dengan hanya melayan mata melihat keindahan Dan keajaiban ciptaan Allah swt. Sebaliknya, odesi ini telah membuka mata hati saya Bagaimana kekayaan bumi Fantasi ini dikongsi bersama warganya... "Mengapa perlu dua Tiga Kali bertukar bot jika bot yang Besar ini mampu sampai kedestinasinya?" Kenapa perlu lagi diupah pendayung kayak kalau setiap orang mampu berkayak?" "Pelik, bagaimana pula setiap konsesi pelancongan membawa Ke Pulau yang berbeza biarpun berakhir dengan matlamat yang sama "Pulau Pha Nga :James Bond 007"..... Jika Kita tidak berfikir dan memahami erti "Kek Ekonomi Dikongsi Bersama".. Maka jadilah ia seperti "dongeng Malaysia 1970".... Masih terus menjadi lagenda dongengan biarpun dalam versi baru.
        Rupanya.....di sini lambakan pelancong diagih-agihkan agar setiap peringkat atau kitaran Ekonomi semua lapisan menikmatinya... Biarpun ia sekadar seorang pendayung kayak atau pembancuh air.. Pastinya titisan Ekonomi lambakan pelancong ini dapat dinikmatinya. Bolehkah Kita melakukannya? Kenapa perlu Ada yang memonopoli " Kek Ekonomi" untuk dinikmati oleh kaum kerabatnya sahaja? Merantaulah dan bukalah Minda agar Kita tidak mudah dimomok Dan digula dengan pelbagai gula-gula dalam bentuk kupon-kupon untuk dewasa, tua mahupun anak2 dibangku sekolah... Ayuh Kita gerakan odesi ini...

26 January 2012

Beginikah?

Dalam keterbiasaan, melewati jam 7:30am, aku bersarapan di kedai berhampiran dengan rumah kemudian bergegas stesen LRT yang mengambil masa kira-kira 7-10 Minit berjalan kaki. Bersandangkan beg komputer serta buku ilmiah yang ku bawa (8-12kg jua beg nie) aku akan berhimpit-himpit bersama ribuan orang menaiki LRT menuju destinasi masing-masing. Ada yang kerja, ada yang belajar dan mungkin jua ada yang berjalan-jalan. 
Pantang Ada tempat kosong, pasti aku akan berebut-rebut untuk duduk. Kekadang tu terlupa tempat tu khas untuk mereka yang memerlukannya. "Aghh! Peduli lah! Penat tau untuk berdiri bagi melewati 12 stesen, yang mengambil masa 35 Minit untuk sampai Ke Stesen Universiti" Dapat jua la aku layan tido masa tu.  sesekali aku tersenyum sendiri bila mengingatkan iklan berilah tempat kepada mereka yang memerlukannya. "Boleh aku buat begini?'
"Penat betul jalani kehidupan di KL ni?" bisik hatiku. Awal pagi berebut-rebut, Malam nanti jua akan berebut-rebut, berasak-asak.. Kota Metropolitan ini tak pernah tido!.
"Beginilah perjalanan saya setiap hari" sampuk salah seorang penumpang yang boleh ku panggil Pak Cik. Saban Hari aku akan bertembung dengannya. Dia bekerja sebagai Pengawai Keselamatan di Universiti Malaya (UM). Sebaik saja sampai, kami pasti akan berkejar-kejar dari Stesen Universiti, untuk mendapatkan Bas Rapid KL bagi tujuan ke UM.. Lewat seminit saja, kami pasti ketinggalan bas tersebut. Maka terpaksalah menunggu 30-40 minit berikutnya. Beginilah sistem Pengangkutan Awam di bandaraya besar seperti KL. Cekap dan lengkap! Cuma perlu pandai untuk mengikut jadualnya. 
Begini rupanya! 
Sebaik saja sampai di UM, aku terus berjalan menuju ke Fakulti Pendidikan untuk menemui penyelia. Walaupun jam baru menunjukkan 8:45am, sedangkan temujanji ku jam 10:30am, aku datang awal dan menunggu di Lobi Fakulti Pendidikan sambil membaca Artikel jurnal yang telah aku upload beberapa hari yang lepas. Aku perlu bersedia untuk berbincang dengannya tentang perkembangan penulisan proposal aku. Terdapat kekakang untuk aku menulis. Artikel yang aku perolehi terlalu sedikit dan terhad. 

24 January 2012

Perjalanan

Ramai yang percaya "Perjalanan bermula dengan langkah pertama" tapi bagi aku- "ia bukan suatu syarat utama!". Perjalanan aku untuk menamatkan pengajian 3 tahun ini, tidak pula bermula dengan langkah yang pertama!
"Banyakkan membaca jurnal dan kajian-kajian lepas. Mulakan dengan bab dua: sorotan kajian," kata penyelia ku sambil melakarkan sesuatu dalam sehelai kertas. Aku termanggu.. "Kalau mau buat PHD, mulakan dengan bab 2!" soal hati ku. "Ceh! Aku punya proposal langsung tak ditengok! Terus saja minta aku buat bab 2,"bentak hati ku. Walau apapun, aku akur dengan permintaannya... kerana penyelia ku seorang yang berpengalaman. pasti dia ada alasan untuk itu!
Justeru, sepuluh hari aku berulang-alik ke perpustakaan: makan, tido (kadang-kadang dalam perpustakaan atau LRT kerana keletihan), duduk, bangun dalam perpustakaan UM. Kini aku mula memahami akan maksudnya. Melalui pembacaan, kita akan mula melihat dunia penyelidikan dengan lebih luas. Makin banyak kita membaca jurnal-jurnal dan penyelidikan-penyelidikan, makin kita pening! makin kita tak faham! "aghhh susah la kalau begini!"
Tapi, itu la ilmu, semakin kita mencari semakin luas kita akan menemuinya. Sesungguhnya Ilmu Allah tak terjangkau oleh akalku. Hari ini, aku cuba berusaha untuk memulakan perjalanan... memulakan penulisan... walaupun sesekali aku menemui jalan buntu dalam perjalanan ini! Doa ku semoga segalanya dipermudahkannya!

23 January 2012

Tersembunyi yang Terselindung

Seminggu menjalani hidup di Lembah Klang, meninggalkan Lembah Pinokok membuka seribu satu cerita. Dalam menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar tua, aku saban hari akan berulang alik dari Taman Melati, Gombak untuk ke Universiti Malaya. Perjalanan menggunakan LRT mengambil masa 30-40 minit untuk ke Stesen Universiti, kemudian menggunakan Bas Rapid KL untuk ke UM antara 5-10 minit. Rutinnya antara jam 7-830am aku akan berebut-rebut menaiki LRT dan pulang antara jam 8pm-9pm. Sesungguhnya yang tersembunyi biarpun terselidung hanya akan ketara bila kita sendiri melaluinya. Benar kata orang: "pengalaman mematangkan kehidupan. Biarpun gah namanya Lembah Klang, indah pada pandangan, tersembunyi luka-luka warganya - rumah puluhan tingkat, sayangnya lif satu. Rumah beribu unit, sayangnya pakir satu. Rumah cantik dicat luaran, sayang dalamnya bertemu dinding. 
Tak dapat terselindung lagi, dalam meneruskan kehidupan LRT penyambung kehidupan. Tampak cantik menjalar memenuhi ruangan kota, sayang warganya berhimpit bertemu muka mencari ruang bernafas didalamnya. Sapa tahu kalu tidak melaluinya. sesungguhnya yang tersembunyi tak mungkin terselindung kalau kita melaluinya. Sesekali terasa sedih melihat himpitan ini dalam kelompok warna sendiri. Lain yang dilaung... lain yang dipapar. Sayang kita masih terus diulik Drama Hidup Mewah dikaca TV.. ke mana hilangnya realiti?
Pesan pada diri: "kalau sirih pulang ke junjung, di mana kita di bumi sendiri?"

21 January 2012

Perlukah?

Perlukah aku meneruskannya... lagi dibaca, lagi tak faham
Perlukah aku duduk diam.... lagi ditenung, lagi kabur pandangan
Perlukah aku terus melayan... lagi disapa, lagi menghilang
Perlukah aku berhenti disini saja... lagi difahami, lagi pening..
Perlukah semua ini? aghhhh makin berpusing dunia ini... susah jua rupanya bila nak membaca, memahami dan menghayati sesuatu sebelum dapat mengarang sesuatu...
Pesan pada diri: "mengalirlah seperti air, biarpun sedikit alirannya, lama-lama bertakung jua di muara"

ops... LRT?

Mungkinkah sampan menjadi bot?
Mungkinkah kereta menjadi keretapi?
Mungkinkah kapal terbang menjadi roket?
Segalanya menjadi mungkin jika adanya kemahuan?
Bagaimana?
Persoalan ini terus memungkinkan kita mencari alternatif?

20 January 2012

Lembah Pinokok ke Lembah Kelang

Coret ini, sekadar coretan seorang tua yang kembali meletakkan tanda nama sebagai pelajar. Bila aku menoleh kebelakang, dah telalu jauh aku meninggalkan dunia universiti... hampir 13 tahun. Seingat aku, pertama kali mendaftar di UKM 1998, sebagai pelajar, segalanya diuruskan dengan berjalan kaki. Ke sana ke mari bersama kawan-kawan terutamanya masa itu, Mosfi, Pok Cik, Pok Sang, Lan Awal pagi kami akan berjalan dari Kamsis Rahim Kajai  ke kuliah di Fakulti Ekonomi. Jaraknya boleh tahan, jua kalu jalan kaki. 
Kini, tahun 2012, aku kembali melewati zaman itu, cuma bezanya, aku ni pelajar tua, sesekali berjalan kaki untuk menaiki tangga fakulti terasa me"ngah"nya... mula la bernafas melalui idung.. 
Jika dulu aku di UKM, kini aku pelajar di UM.. 
Jika dulu, aku mampu berlari mengejar bas dalam ujan di UKM untuk keluar membeli barang-barang keperluan di Kajang, kini biar saje la ujan tu membasah diri, aku dah terasa penat untuk berlari mengejar LRT mahupun bas Rapid KL..
Jika dulu, aku berasak-asak dalam bas untuk pulang ke Kamsis Rahim Kajai dari Kajang.. kini, mahu tak mahu, penat atau tidak aku perlu berasak-asak dalam LRT untuk pulang ke penginapan.. 
Jika dulu, aku boleh menaiki motorsikal PBM1349 bersama kawan-kawan untuk ke Kuala Lumpur berulang kali biarpun jaraknya melewati 40KM, Kini dah mula terasa sengal badan bila naik motor dalam jarak yang begitu jauh. 
Namun pesan pada diri.. "Aku kini seorang pelajar"
Kerana sungguhpun keadaan berbeza, ceritanya tetap sama. Pada aku, "adat belajar" dan "adat berguru" tak pernah berubah. Untuk belajar kita perlu lapangkan dada - sedia untuk berkorban dan ikhlas untuk menuntut ilmu kerna ada kalanya kita tercabar - menunggu, penat, pening, lapar, dahaga, berjalan kaki ke sana ke mari, duduk mengadap buku berjam-jam.

 Justeru sebagai mengingat diri " Kita Belajar umpama kapal terbang.. Semasa ia mula berlepas (take-off) kita mula nampak pemandangan yang cantik, semakin tinggi ia terbang semakin luas pemandangan kita, namun kita jangan cepat mendarat (touch-down).. teruskan penerbangan, dapatkan seluas mungkin pemandangan tersebut.. bila dah pasti landasannya maka mendaratlah dengan selamat. Sesungguhnya Semakin tinggi terbang, semakin luas pemandangannya, namun semakin sakit telinga kita akibat tekanan. Itulah cabarannya.."
 "Patah sayap terbang jua"

10 January 2012

Sesekali....

Sesekali terasa jua kemeriahannya... namun sering kali jua terasa terasing. Walau apapun, kepastian tentang sesuatu keputusan itu amat penting.

Selalu aku berpesan pada diri ini :'Sesekali menongkah arus, jangan takut pada ombak yang melanda. Sesekali angin bertiup, jangan takut terbangkan layang-layang. Dan sesekali terjatuh, jangan takut untuk terus melangkah.." Sesungguhnya kita perlu mensyukuri apa yang telah dikurniakan-Nya.

Sesekali, kita terlupa bahawa, kita mengharapkan sesuatu tetapi apabila kita mendapatnya, seringkali jua kita meminta untuk diberi pilihan.
Sesekali, kita mendengar dengan penuh rasa gembira kegembiraan orang lain, dan seringkali jua lah kita berdoa agar kita jua mendapat sebaiknya.  Namun, apa kita memperolehnya, kita seringkali jua meminta diberi pilihan.

Terdetik dihati kecil, "mengapa sesekali begitu, kita seringkali melakukannya?"

Tahniah buat semua rakan sejawat yang menerima kenaikkan pangkat, yang telah berjaya untuk menyambung pelajaran di universiti serta tidak lupa jua buat yang akan menghadiri temuduga Biasiswa HLP. Yakinlah dengan pilihan itu, jangan sesekali ragu-ragu kerna kita seringkali terlepas peluang yang tersedia.(pesan pada diri sendiri jua). ha ha ha




8 January 2012

Antara Pekan Tuaran - Kuala Lumpur

Nak dijadikan cerita, rupanya walaupun telah ku tetapkan pilihan, masih ada cabaran serta dugaan yang perlu aku laluinya. Sesekali terlintas jua di benak ku, "adakah pilihan ku ini betul?" kenapa berat sangat cabaran yang perlu aku laluinya. Banyak betul dugaan yang perlu aku buat.
Benar kata orang: "senang lagi berada di pekan kecil seperti Tuaran, jika nak dibandingkan dengan Kuala Lumpur!"
Hampir aku membatalkan niat untuk meneruskan pilihan yang telah ku buat ini. Mana tidaknya, ada saja halangan yang perlu aku redah atas keputusan ini. Bukan sekadar sesat mencari jalan di kota besar begini tetapi lebih berat dari itu... "Seingat aku, tak pernah aku menagih simpati dan meminta belas kesian bagi mendapatkan sesuatu! tapi aku ini aku perlu lakukan atas dasar tidak mahu ia terlepas begitu sahaja."
Biasiswa yang ditawarkan kepada ku akan tamat tempoh tawarannya pada 31 Disember 2011, maka aku perlu bertindak secepat mungkin bagi memastikan aku mendapatnya. Selama ini aku benar-benar yakin (setelah diyakinkan oleh orang-orang tertentu) bahawa aku mempunyai pontensi besar untuk memperoleh jawatan tersebut. Tapi setelah menunggu sekian lama dan pilihan perlu aku buat maka, disaat-saat akhir, aku mengambil kata putus untuk menerima HLP dan menyerahkan kepada takdir (rezeki) tentang jawatan yang ku tunggu itu.
Alhamdulilah, walaupun aku terpaksa merayu- tidak mendapat penempatan di mana-mana Universiti, aku tebalkan muka, memohon agar UM mengeluarkan surat Tawaran kepada ku setelah hampir 6 bulan permohonan ku gagal (alasan proposal yang ku hantar perlu dibuat pembetulan, setelah berkali-kali membuat pembetulan) kali ini aku nekad mengadap dan merayu agar diberi tempat untuk membolehkan aku mendapat tawaran Universiti. Akhirnya surat tawaran dikeluarkan setelah mengikut prosedurnya.

Sekali lagi, aku terpaksa berhadapan dengan masalah apabila aku tidak dibenarkan untuk mendaftar kerana tidak membawa salinan serta sijil yang diperlukan semasa mendaftar, sekali lagi, aku terpaksa menunggu selama beberapa jam untuk berjumpa pegawai IPS bagi merayu agar dibenarkan mendaftar bersyarat. Aku tiada pilihan lain, untuk pulang ke Sabah dr KL bagi mengambil sijil dan datang semula untuk mendaftar! sesuatu yang mustahil disebabkan, hari itu hari terakhir untuk bekerja iaitu 29 Disember 2011.. maka biarkan aku tebalkan muka merayu dan memohon diberi pertimbangan... Syukur! nak menjadi rezeki ku, kebetulan salah seorang pegawai tersebut adalah pelajarku, maka dapat la aku mendaftar....


Antara percaya dan tidak... segala urusan berjaya diselesaikan dalam masa 3 hari terakhir sebelum tamatnya tempoh biasawa tersebut. Hari ini, apabila aku menoleh kebelakang, aku bertambah yakin, jika itu telah ditakdirkan, maka itulah ketentuanNya. Kita boleh berusaha untuk mengubahnya namun ketetapan terakhir adalah hak-Nya.

7 January 2012

Pen Kertas


 ‘sekeping kertas ….. sebatang pen’...
'sebatang pen atau sekeping kertas?'
"pen? kertas? 
"Pen Kertas?"

Yang menjadi persoalannya-Mengapa perlu aku memilih? Disinikah patut aku berada? Betulkah pilihan ini?Dapatkah aku lakukannya? Rupanya sukar jua bila kita diberi pilihan.

Teringat kata-kata seorang kawan kepada ku dulu - "hidup ini tak banyak pilihan, jadi terimalah apa yang telah ditetapkan." Sekarang situasinya amat berbeza. Lain pula kisahnya kini, aku diberi pilihan!  Yang sepatutnya tak perlu untuk aku memilih. Kerana antara pen dan kertas kedua-duanya diperlukan bersama. Apa ertinya kertas kalau tiada pen? Dan sebaliknya bergunakah pen tanpa kertas? Betulkan? Tapi mengapa aku diminta untuk memilih? Malah aku diarahkan agar membuat pilihan!

Soalan demi soalan terus menerjah minda ku. Akhirnya timbulah cerita-cerita yang tak sedap yang kian meniti di setiap bibir-bibir. Bermain-main dimindaku desakan dan asakkan agar mengetepikan prinsip diri. Kekadang terfikir jua mengapa aku perlu melalui saat-saat begini, setelah puluhan ribu kertas aku tulis menggunakan pen tetiba aku diberi kata dua.. pen atau kertas. Dalam keadaan yang tertekan ini, perlukah aku membuat pilihan antara sekeping kertas atau sebatang pen. Tak kala begini, menyendiri dan memerhati kehijauan Lembah Pinokok berlatarbelakangkan 'Aki Nabalu' membuatkan aku tenang. Tambahan Lagenda atau Dogengan 'Aki Nabalu' membuktikan betapa kukuh dan setianya cinta seseorang terhadap kekasihnya walaupun dihambat dengan pilihan yang ada. Maka aku perlu kuat dan setabah 'Aki Nabalu'.  

"Baik kau pilih pen. Pen tu berharga dan amat bernilai..tak semua orang dapat memilikinya!"
" Kalau kau tolak pen tersebut, dan memilih kertas, maka 6 tahun berikutnya baru kau berpeluang untuk memilikinya semula!"
"Kertas tu kau mampu miliki! Dimana-mana ko boleh dapatkan kertas tu"
"Aku yakin kau dapat kertas tersebut dengan cara kau berkerja sekarang ni, jadi kau pilihlah pen. Susah untuk dapat tawaran ini!"
Antara kata-kata yang menjadi bual bicara rakan-rakan kepada ku apabila berjumpa. Namun, tahukah mereka bahawa dalam dunia ini, tiada peraturan yang menyatakan bahawa kita perlu memilih bila berada dihadapan pen atau kertas! Pelik bukan? Akhirnya aku akur untuk membuat pilihan:  sehelai kertas putih kosong (kalau diletakkan harganya mungkin RM0.026) yang dimata orang ia terlalu murah atau  sebatang pen bersalut emas, bermatakan berlian?
Pilihan ku muktamad!

Apa yang difikirkan itu... ada realitinya...

Dulu, kita pernah jadi murid, kita jua pernah jadi guru, tapi pernahkah kita cuba untuk menjadi orang lain? Pastinya kita fikir.."mengapa perlu kita menjadi orang lain?" begitu jua  aku, sebelum nie, tak terlintaspun difikiran  yang akan akan kembali menduduki kerusi dewan kuliah sebagai seorang pelajar. Menjadi orang lain sebelum ini.

Kini, melewati usia sebegini, aku membawa gelaran "seorang pelajar". Biarpun berat mata yang memandang, sesungguhnya berat lagi bahu mereka yang menggalas gelaran itu.

Jika dulu, aku mengajar di sekolah, tak terlintas difikiran ku untuk menjadi seorang guru kepada pelajar yang jauh lebih berusia dan berpengalaman dari ku. Hakikatnya, selama 3 tahun berada di IPG Kampus Kent, itulah realitinya. Mengajar Guru-guru JAHIENS, Guru j-Qaf, KDC KEMAS, PGSR, PPG serta kadang-kala atas jemputan aku turut berkongsi pengalaman dengan guru-guru sekolah serta kolej-kolej mahupun IPTS atau IPT malahan International School selain pelajar-pelajar PISMP, KPLI atau PPISMP.

Jika kini, aku masih tak dapat memahami isi hati mereka-mereka ini yang bergelar "pelajar" pada usia ini, makanya aku sendiri akan melalui saat itu pada tahun 2012. Realitinya, aku perlu berpegang pada "adat belajar" jika ingin berjaya. Di tahun 2012 ini,  aku perlu menggugurkan segala jawatan, pangkat mahupun gelaran sebaliknya menggantungkan kad matrik Pelajar  di leher. Pasti tertanya-tanya.. "kenapa pula? apa kaitannya?"

Dulu, kini dan hanya yang melaluinya akan memahami realiti ini.. nak tahu? Aku akan ceritakan pengalaman pertama bergelar seorang pelajar Universiti Sains Malaysia yang hanya dalam tempoh 3 minggu dan kemudiannya bergelar pelajar Universiti Malaya...

Sesungguhnya  "apa yang difikirkan... itu ada"

6 January 2012

Seminit menjadi sehari, tak terasa beribu langkah yang telah ditinggalkan

"Meja tu bila nak dikosongkan" satu pertanyaan yang membuatkan aku tersenyum tanpa sebarang jawapan. Dalam kesibukan aku melayani persoalan demi persoalan tentang bila aku mula menyambung pelajaran dan mula bercuti. Pertanyaan tentang Perjawatan aku, kenaikan pangkat aku sebagai PC tak terganggu kah dengan keputusan aku menerima HLP. Aku menjawab dengan ikhlas.. namun soalan cepu emas ini membuka mataku bahawa.. "Aku kini Pelajar"

Makanya, hari ini aku perlu untuk mempercepatkan proses mengosongkan meja tersebut bagi memberi ruang kepada rakan-rakan ku yang lain untuk mengisinya. Tak salahkan diaorang jua, sebab dalam keadaan ruangan bilik yang terhad, bila ada yang dapat menyambung pelajaran atau yang dapat berpindah atau yang bertukar jabatan maka ia memberi ruang yang lebih luas. Tambahan pula sesi persekolahan sudah 3 hari bermula, bererti bahawa sepatutnya aku lebih sedar akan keperluan aku untuk mengosongkan tempat itu. Walau apapun, aku memohon maaf atas kelewatan tersebut. InsyaAllah, isnin, meja itu dah boleh digunakan.

Bila orang dah berlari, kita masih merangkak-rangkak

Dua-tiga hari nie, persekolahan bermula.. Ini bererti.. bermulanya kesibukan yang amat sangat.. baik guru mahupun pelajar.  Sesekali aku menoleh kebelakang..emm baru terasa bahawa.. aku masih merangkak-rangkak bertatih dalam menyelusuri dunia pendidikan. Sedangkan telah ramai yang mula menauk langkah malahan dah ramai yang berlari. Adakah aku perlu bertindak sebagai pemerhati? Persoalannya, mampukah aku mempertingkatkan azam serta tekad untuk berada seiring dengan mereka? Maka, ditahun baru nie, jom kita perkemaskan azam serta iltizam untuk terus menempa kecemerlangan dalam segala bidang yang diceburi.

Oppss... dah tahun 2012, tentunya bagi aku situasi telah berubah. Perubahan yang cukup besar - kembali bergelar "pelajar".. emmm maknanya apa? Pastinya berbeza tugasnya.. kalau dulu rutin harian menemui muka pelajar2 dan mengadap fail-fail kursus yang bertimbun-timbun. 

Hari ini, lain pula  ceritanya, awal tahun aku sibuk mengemas dan menyimpan fail-fail kursus yang akan aku tinggalkan untuk 3 tahun.. Sebaliknya, aku kena mula berjinak-jinak dengan buku-buku ilmiah serta jurnal. Pesan kawan, "ingat: tinggalkan jawatan dan gelaran sebaik saja keluar dari opis, sekarang kau adalah pelajar, jadi dunianya amat berbeza"

"Ya! memang berbeza" bisik ku.

Dan Pastinya cerita berbeza, 10 tahun memegang gelaran cikgu (8 Jun 1998-16 Disember 2007) dan 3 tahun berikutnya [4 Januari 2008 (tarikh lapor diri di IPG Kent) sehingga 23 Disember 2011] pula bergelar pensyarah. Namun hakikatnya,  panggilan tetap sama - "cikgu". Kini 4 Januari 2012, gelaran itu "digantung" untuk 3 tahun bagi menggantikannya dengan ......?  Walaubagaimanapun aku tetap merindui panggilan keramat itu:-CIKGU..

Sesungguhnya, siulan irama tuninipot, alunan bayu "Aki-Nabalu" membuatkan aku terpaku seketika:- betulkah pilihan aku ini? Bersediakah aku untuk berlari sedangkan berjalanpun ada ketikanya selalu jatuh?


Selamat tahun Baru 2012


Permulaan tahun baru 2012 ini... mengharapkan yang terbaik. Tambahan pula sekarang ini status bukan lagi seorang guru sebaliknya kini bergelar seorang pelajar. emm banyak cabaran jua rupanya.