Cerita Guru vs Cerita Murid

Tuninipot (Firefly/Kunang-kunang)

Kelok-Kelok Jalan Guru Cemerlang
(Johan Sayembara Majlis Guru Cemerlang  Malaysia 2011)
** Cerita ini telah diringkaskan untuk mendapatkan cerita penuh, dapatkan Buku "Taman Kasihku" terbitan Majlis guru Cemerlang Malaysia"

Aku suka mengamati kehidupan. Sejak dulu lagi, aku menemui pelbagai jawapan hanya dengan memerhati kehidupan manusia. Benar kata orang, kehidupan ini sebuah pementasan teater. Kita sedar yang kita adalah pelokon utamanya, namun acapkali kita lupa bahawa kita jualah penontonnya. Justeru, aku menemui makna bahawa sebahagian besar orang tidak seperti mana penampilan mereka dan begitu banyak orang yang telah salah difahami. Dari suatu sudut, kita sering menjatuhkan penilaian berdasarkan logik akal. Aku sering tertanya dan ingin mempelajari mengapa manusia bertingkahlaku begitu? Mengapa manusia seperti adanya? Dan bagaimana ia bertindak atas sesuatu situasi? Apa saja ekspektasinya terhadap sesuatu yang berlaku?

Hari ini, aku leka memerhati suatu dunia baru pada bola mata yang sering menyaksikan satu kebiasaan. Sayup mata memandang, terhampar sebatang sungai yang lurus tanpa penghujung. Airnya mengalir tenang sambil merodong akar sepohon kayu Sonneratia Caseolaris yang kian tumbang. Di kiri kanannya terbiar kosong. Pandanus Amaryllifolius menghijau, mula memenuhi  setiap ruang di kawasan ini. Kabus putih menutupi segenap ruang di daerah ini. Dingin dan sejuk meski pun daerah ini iklimnya khatulistiwa.
Keheningan pagi ini, dicelah-celah daunan pohon kayu Sonneratia Caseolaris, Si Tuninipot sibuk menganyam daun-daun untuk dijadikan kain selepang yang sering digunakan jika ada pertandingan “Unduk Nadau”. Aku kira begitu. Tapi perkataannya tak dapat ku pastikan sebab belum siap sepenuhnya. Aku leka memerhati ketekunannya dengan penuh tanda tanya. Persoalan demi persoalan menghentam mindanya. Aku menoleh ke kiri dan kemudian ke hadapan semula. Tiada sesiapa yang kecuali Si Tuninipot yang comot dan pecah-pecah sayapnya memenuhi ruang matanya.
“Woi!, serangga kenit! Boleh aku bertanya?”
Si Tuninipot berhenti menganyam, memanggungkan kepalanya pada suara yang menyoal. Tanpa senyuman dibibir, Si Tuninipot membalas pandang pada yang menyoal, “Dari baju mu, sepatu mu, pastinya kau memiliki segala yang kau mahu. Sayangnya kau tak mampu membeli Panjaram Adat Manisan Sapaan sebelum kau tiba di sini”
Merah padam muka aku diperlakukan sebegitu. Sebenarnya daerah ini terlalu asing buat aku. Kenapa aku diperlakukan sebegini setelah aku memberikan sapaan, biarpun dengan penuh kesangsian.
“Aku baru saja sampai di sini, maafkan aku kerana tidak menghormati budaya mu. Ini bukan daerah ku, jua bukan pilihan ku untuk berada di sini.”
Si Tuninipot kembali menganyam kain selepang yang baru siap separuh perkataan “Ter….”.  Tanpa menoleh, Si Tuninipot bersuara,” Kata mu dan sapa ku tak pernah bertaut mesra. Datang mu tak dijemput dan pergi mu, tak pernah dirayu”.
Aku makin terhina. Muka ku yang putih kini berubah menjadi merah. Aku aneh, mengapa si serangga hodoh ini memasang tembok-tembok kebencian disekelilingnya. Tahukah dia, kalau aku tiba di daerah lain, pastinya ribuan manusia akan bersorak kegembiraan. Membentangkan permaidani merah dan berarakan bunga manggar dari kenderaan ku sehingga ke destinasi upacara. Tidakkah Si Tuninipot perasan, jenama baju ku dan seluar ku bukan buatan tempatan. Dipadankan pula dengan tali leher tenunan tangan pemberian kekasihku. Pastinya ini sudah cukup untuk menyerlahkan penampilan aku.
“Nama ku, Ach Effron”
“Effron??” Si Tuninipot berhenti menganyam selepangnya. “Bagaimana kau boleh muncul di daerah Saguon lebih awal dari yang kami jangkakan?”
Aku tersenyum pahit. “sebenarnya, aku terperangkap di daerah ini. Aku ingin kembali ke daerah kelahiranku. Boleh kamu bantu?”
“Tidak! Tidak!” Si Tuninipot mendapatkan aku. Selepang anyamamnya dibiarkan terampai separuh siap. “Kalau benarlah kau Effron, Kau tak tersesat mahupun terperangkap di sini. Kami memang menantikan kehadiran seorang lelaki muda yang bernama Effron yang boleh menanam pepohon  kayu Sonneratia Caseolaris yang semakin pupus di daerah ini. Kau lihat hanya Pandanus Amaryllifolius yang semakin tinggi tanpa pepohon yang kami harapkan”
“Tanam Pokok??, terokai tanah?” Dah la aku terperangkap di sini, kau mau aku menanam pokok dan membersihkan Pandanus Amaryllifolius? Sia-sia la aku mendaki ke puncak tertinggi bertahtakan gading, akhirnya kau minta aku menanam pokok, membersihkan Pandanus Amaryllifolius. Ohhh! Tidak. Aku ingin pulang! Siapa kamu untuk meminta aku buat itu, ini?”
“Jangan, jangan begitu Effron. Takkan kau nak membiarkan satu-satu pohon yang menjadi rumah ku ini, tumbang dihayuti sungai hilang entah ke mana. Akhirnya hanya Pandanus Amaryllifolius yang memenuhi daerah Saguon ini?”
Dengan nada yang sayu, Si Tuninipot terus merayu. “Daerah ini akan terus kegelapan, cahaya ku tidak lagi berkelip-kelip tak kala malam kunjung tiba”
“Si Tuninipot, itu bukan masalahku. Dengan Ijazah Kelas Pertama ku miliki, selayaknya aku berada di bilik berhawa dingin bertemankan pen monkblank.”
Si Tuninipot, tidak mengalah, selagi suaranya ada, minda ligat berfikir untuk menyakinkan dan mempertahankan agar Effron terus tinggal di daerah ini. Pesan nenek moyangnya, Pandanus Amaryllifolius yang tumbuh di persada ilmu ini perlu ditebas, agar pepohon yang sedia ada boleh tumbuh subur dan terus menyemai biji benih baru demi dedaun pepohon yang menjadi sumber sumber perlindungan  dan makanan. Barulah generasinya boleh membiak dan bergerak bebas kembali. Nanti impiannya untuk melihat daerah ini bersinar dengan kelipan cahaya boleh tercapai.
“Maka, aku mampu berkelip menyinari seluas-luasnya daerah ini dan tidak lagi menumpang di sebatang pokok yang kian tersungkur ke bumi dan hanya Pandanus Amaryllifolius yang kian subur di bumi sendiri” rintih Si Tuninipot.
Effron menghembuskan nafasnya dengan kuat dan melabuhkan punggungnya di atas akar pepohon kayu Sonneratia Caseolaris ditebing sungai. Pepohon kayu ini yang kian condong ini, mungkin telah mencecah ratusan tahun. Ini lah tempat Si Tuninipot berteduh dan mencari makan. Mata aku tertumpu pada akar-akar pepohon kayu yang diradak air sungai yang mengalir deras ke muara. Benak ku pantas berlari-lari mencari arah haluan sebenar permintaan Si Tuninipot. Aku tak mengerti bagaimana sekeping kertas berpatri merah saga dan jubah bersulamkan songket emas boleh membantu Si Tuninipot ini untuk berkelip dan kembali bercahaya.
“Pelik. Cukup Pelik!’
“yang pelik tak semestinya benar. Dan yang benar pula tak semestinya pelik”  tagline iklan tv rancangan Pelik Tapi Benar menerjah kotak fikiranku.
“Kita ni hidup beradat. Kalau dah ada yang berhajat, jangan dihampakan. Tambah-tambah orang jauh”. pesan mak kepada kakak seperti mengingatkan diri aku juga. “Hajat orang tak baik dihampakan!”
“Tapi bagaimana dengan hajat sendiri! Perlukah menyakiti diri sendiri hanya untuk menyenangkan hati orang lain?”
“Perlu diusahakan dan jangan terlalu mengharapkan orang untuk sesuatu”.  Aku tak punya banyak pilihan jika itu yang mak maksudkan.
“Effron, adakah kau sanggup membantu aku?” suara Si Tuninipot memecah anganku. “Daerah Saguon ini akan hilang ditelan Pandanus Amaryllifolius dan terhakis dek sungai, sekiranya kau tak membantu kami untuk meluaskannya. Lama kelamaan yang tinggal hanya nama. Ke mana harus aku menghilangkan diri. Kalau semua manusia yang memegang kertas berpatrikan merah saga seperti engkau mengejar kedudukan dan wang ringgit, siapa lagi yang akan menanam pokok dan membersihkan Pandanus Amaryllifolius ini, sedangkan hanya orang seperti kau saja yang mampu melakukannya. Sungguhpun ramai yang sanggup menebasnya namun ia tidak mampu menanam pokok benih dengan baik”.
            Pulau Pinang. Hari ini…
            Unit kecemasan Hospital Besar Pulau Pinang, riuh-rendah dengan suara tangisan dan jeritan oleh pesakit yang sedang menerima rawatan mahupun suara suadara mara yang masing-masing bercerita tentang kemalangan di atas jambatan Pulau Pinang jam 3 pagi itu. Bas ekspres yang hilang kawalan lalu merempuh 3 buah kereta dalam perjalanan dari Kuala Lumpur.
“Bagaimana keadaan adik? Dengan apa dia berlangar?” bertubi-tubi abah mengajukan soalan kepada abang long.
            “Abah, kita ke surau hospital bacakan Yassin. Dah 2 jam, Adik masih di dalam bilik bedah,” balas abang long mematikan persoalan abah.
            Abah terpaku menatap surah Yassin yang sudah 3 kali diulang baca memanjatkan doa agar anak bongsu kesayangannya selamat mengharungi saat getir di dalam bilik bedah. Timbul rasa kekesalan yang amat sangat dalam dirinya kerana memaksa anaknya kesayangannya itu untuk menyambung Diploma Pendidikan setelah tamat pengajian dalam bidang Ekonomi di National University of Australia baru-baru ini. Dia tahu anaknya itu sangat meminati bidang ekonomi kewangan dan telah ditawarkan jawatan pegawai operasi di sebuah syarikat GLC yang berpengkalan di Amerika Syarikat. Namun, untuk meneruskan tradisi keluarganya, dia memaksa anak bongsunya ini menjadi guru setelah anaknya yang lain tidak memilih kerjaya ini. Yang penting, anaknya perlu menjadi guru sepertinya biar apapun pandangan orang terhadap profesion ini. Baginya guru adalah arkitek bangsa. Orang yang melakarkan seribu kehidupan manusia lain.
            Dia tidak menduga, pertengkaran 6 jam yang lalu membawa kepada situasi ini. Dia mungkin kehilangan anak bongsunya untuk selamanya. Masih terngiang-ngiang ditelinganya janji dia pada anaknya, jika dia boleh kekal berada dalam Senarai Dekan, maka dia boleh memilih kerjayanya sendiri. Anaknya ini berjaya membuat ibunya tersenyum gembira di setiap semester. Tapi, sebagai seorang ayah, dia pastinya ada saja alasan untuk menjadikan anak bongsunya ini seorang guru. Dia juga tahu jerih payah anaknya untuk memahami pelbagai rumus dan statistik di sepanjang pembelajarannya di universiti. Dia juga tahu, kadang kala anaknya bersengkang mata dan berlapar untuk menyiapkan projek atau tugasan. Tapi baginya, anaknya ini perlu bergelar “Cikgu”.
            “Abah, adik belum pasti nak terima atau tidak tawaran Diploma Pendidikan di UKM ini!”
            “Nazri, kenapa dengan kamu?” dengan nada yang tegas. Aku tahu, tiada siapa boleh mengubah apa yang telah abah tentukan. Mak hanya memerhati dan memberi isyarat kepada ku agar berdiam. “awat, ingat kerja cikgu ni lekeh sangat ka? gaji sikit! Orang tak pandang kalau cikgu” suara abah makin meninggi.
            “lebih kurang begitu la” pantas aku menjawab. “Penat-penat aku belajar, dipaksanya aku jadi cikgu” getus hatiku. Hari ini aku mesti bersuara, menyatakan hak aku. Aku tak nak seperti mak, jika tidak kerana anak sulong yang terpaksa membantu adik-adik yang ramai untuk bersekolah, pastinya mak juga dah berjaya menjawat jawatan tinggi. Tambahan mak antara satu-satu anak orang kampung yang bersekolah Inggeris di St Goerges High School Pulau Pinang dan lulus HSC dengan cemerlang. Kalau diikutkan paling tidak, mak pasti menjadi pegawai kerajaan bukannya suri rumah sepenuh masa.
Tapi itu adalah simpang yang perlu mak pilih atau terpaksa pilih demi menentukan haluan hidupnya. Kini, Nazri juga perlu membuat pilihannya. Memang terlalu sukar untuk memilih. “Kita dikurniakan dua tangan, satu untuk memberi, satu lagi untuk menerima. Tapi kita hanya diberi cuma satu hati. Maka sukar kalau dibahagi-bahagi. Jadi buatlah pilihan dengan baik” usik ibu ketika aku memperkenalkan  kawan rapat ku di universiti.
“Ien, apa pendapat kau?”
“Pendapat Ien banyak. Dua-dua baik. Yang satu membolehkan Nazri bergaya dengan kereta Mecedez dan banglo di Puncak Banjaran Croker. Yang satu lagi, Nazri dapat memperkembangkan ilmu dan berpeluang menyebarkan kepada seluruh anak bangsa. Tapi apa pun keputusan tetap di tangan Nazri la.”
Aku merungut-rungut dalam hati.
“Abah fikir, Nazri jadi la Cikgu. Berkat perkerjaan itu. Sampai mati gelaran cikgu terpahat kukuh di setiap hati anak didik Nazri”
“tau la abah! tapi, kerjaya perunding kewangan juga berkat. Tambahan tawaran ini sekali dalam hidup. Ia sesuatu yang tak patut saya lepaskan. Kalau tak ada pilihan , boleh la saya jadi cikgu” 
“Cikgu bukan kerjaya pilihan terakhir! Inilah salahnya bila semua graduan memikirkan bahawa kalau dah tak ada pilihan baru minta jadik cikgu.” Tegas abah. Keputusannya, kamu mesti pergi mendaftar minggu depan.
“Walau apapun keputusan abah, pilihan tetap ditangan saya. Ini titik tolak kehidupan saya.”
Aku berpaling merenung mak, meminta sokongan. Hanya sebuah senyuman yang aku terima. Sukar untuk aku mengertikannya.
Buat pertama kali dalam hidup ini, aku terasa buntu. Entah mengapa kali ini, aku begitu berani menyatakan suara hatiku kepada abah. Adakah sekarang aku kini sudah benar-benar dewasa hinggakan  berani membantah keputusan abah. Sedangkan sedikit masa dahulu, abah jualah yang merancang segalanya hinggakan makanan apa yang harus dimakannya pada hari itu.
Sungguh tidak ku sangka dua tawaran sebaik ini boleh datang serentak. Jika hari itu aku mengisi borang permohonan diploma pendidikan sekadar mengambil hati abah.  Dengan yakin bahawa aku tak mungkin terpilih menjadi guru setelah mengikuti temuduganya. Namun siapa menduga, mungkin inilah dugaan Tuhan demi menguji hati ku antara harapan seorang ayah dengan impian diri sendiri.
Si Tuninipot  dengan berbekalkan tulangnya yang kian rapuh, mencangkul dan terus menimbus-nimbus akar akan pepohon kayu Sonneratia Caseolaris yang kian condong ke menyembah ke bumi dihayuti sungai. Air sungai deras yang merempuh celahan akar pepohon kayu yang telah ditimbusi tanah. Si Tuninipot cuba memantapkan kembali tanah tersebut. Tetapi dalam sekejap sahaja, tanah tersebut hilang dibawa arus deras sungai ke muara.  Di pipinya mengalir titis-tistis sedih yang entah dari bila mulanya. Tetapi Si Tuninipot tekun menguatkan cangkulnya untuk terus menimbus akan pepohon kayu itu dengan tanah.
Effron cuma menjadi pemerhati. Sepi. Bibirnya bergerak-gerak seperti mahu memperkatakan sesuatu kepada Si Tuninipot. Namun hatinya terasa tersentuh dangan tingkah laku Si Tuninipot hinggakan membekukan bicara yang telah disusun. Ketika dia membuat pandang kepada kawasan yang ditumbuhi Pandanus Amaryllifolius dilihatnya disana sini ada kesan tebasan dan beberapa anak pokok telah disemai. Biapun tidak kemas buatannya. Dirapatkan sedikit jarak antara dia dan Si Tuninipot itu lagi. Kali ini dia mendengar sedu sedan Si Tuninipot. Jelas terbayang kesyahduan menjelajahi perasaannya. Tetapi Effron tahu dia perlu merungkai seribu satu persoalan yang bersarang dikepalanya sebelum keputusan akhir dibuat. Dia tidak mahu, pilihannya ini memberi penyelasalan untuk keseluruhan hidupnya.
“Tuninipot,” dia menegur
Serangga itu menoleh padanya,, “aku fikir kau sudah enggan bersahabat dengan ku lagi. Selagi aku masih mampu membersihkan Pandanus Amaryllifolius dan menanam Sonneratia Caseolaris akan ku semai persada ilmu ini. Aku mahu habiskan sedaya yang ada biarpun parang dan cangkul ku tak setajam seperti sabitmu.”
“Tuninipot, aku kembali untuk bertanyakan sesuatu.”
“pertanyaan? Adakah sesudah kau mendapatkan jawapannya, kau akan pergi lagi?”
“Tuninipot, mengapa kau perlu menghabiskan masa dan tenaga kau sehingga usia ini, hanya untuk menebas  dan membersihkan Pandanus Amaryllifolius seterusnya menanam bijih benih dengan berbekalkan parang tumpulmu? Sedarkah, usahamu untuk meluaskan Saguon umpama bulan siang. Tidak dipandang dan mahupun dipuja dikala siang. Adakalanya kau dilukai oleh Pandanus Amaryllifolius yang berduri.”
“Effron, pandang dengan mata hati, dengar baik-baik,  biarpun sabitku tak setajam parangmu, Cangkulku tak mungkin membenamkan akar pepepohon kayu Sonneratia Caseolaris dari raduk arus sungai. Akan ku gagahi juga melakar lanskap indah kebanggaan dunia berbekalkan parang tumpulku. Sanjungan atau pujaan bukan sandaran hidup asalkan Saguon dihiasi warna-warna cahaya. Biarpun berkali-kali disakiti duri-duri Pandanus Amaryllifolius tidak sesekali aku mengalah. Harap kau memahami maksud ku ini”
Dalam bisikan yang amat dalam, ku dengar suara si tuninipot melagukan suatu lagu yang tidak begitu asing buat ku.
 “ ……jika hari ini, seorang Perdana menteri berkuasa.
 …di mulakan oleh seorang guru biasa yang mengajar tulis baca, “ Sang Tuninipot menghembuskan nafas panjang sebaik menghabiskan bibit-bibit sajak keramat Usman Awang, 1979.
Aku memandang Sang Tuninipot dengan linangan air mata. “Baktimu diapung didulang ilmu”
Effron menarik nafas panjang, “mengapa aku boleh melupakannya? Atau dunia hari ini mengajar kita untuk melupakannya setelah kita memiliki segalanya. Si Tuninipot lantas dibiar sepi tanpa diendahkan setelah seribu kepayahan diharunginya untuk menerangi daerah kita.”
Effron membiarkan garis bibirnya untuk membentuk sebuah senyuman untuk Si Tuninipot. Dia amat arif dengan perasaan Si Tuninipot.  
Si Tuninipot terdiam dan hanya memandang dengan seribu pertanyaan.
 “Abah, adik dah selamat menjalani pembedahan.” ujar along sambil memeluk abah yang sedang berteleku di atas sejadah didalam surau hospital.
“Alhamdulilah,” air jernih menitis dari mata abah. Lantas abah bersujud syukur .

PWTC, Kuala Lumpur : 10 tahun kemudian
            Dewan Merdeka PWTC yang serba indah dihiasi ribuan kelipan lampu neon pelbagai warna. Aku leka memerhati setiap tetamu yang masuk dan mengambil tempat duduk yang disediakan. Tetamu lelaki lengkap berbaju kot hitam dengan baju kemeja lengan panjang berwarna putih manakala tetamu wanita kemas anggun mengayakan baju kurung dan kebaya dengan tas tangan pelbagai warna. Masing-masing nampak segak bergaya menghadiri majlis penghargaan yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia.
Aku dan dua rakan sejawatku; Salina dan Nur Isma, awal-awal lagi telah memenuhkan tempat yang telah disediakan untuk kami di barisan hadapan.
“Kami guru Malaysia,
berikrar dan berjanji
mendidik dan memimpin…..”
Lagu Guru Malaysia terus berkumandang memenuhi segenap ruang dewan menandakan bermulanya ‘Sambutan Perayaan Hari Guru peringkat kebangsaan. Ini disusuli dengan pementasan coral speaking dengan tajuk “We Proud to be a Teacher”. Jerih-payah guru-guru mengharungi jalan belukar, sungai dan merentasi banjaran croker digambarkan melalui tayangan multimedia ‘Kisah Guru-guru di kawasan pendalaman’. Ia membuatkan seluruh warga dewan terkasima.
“Tuninipot, inikah jawapannya bagi persoalan ku selama ini?”
Pengorbanan seorang guru di sebuah daerah asing, walaupun kedatangannya hanya dilihat untuk mengajar tulis baca. Tiada siapa tahu atau ambil peduli seribu rahsianya yang tersembunyi berabad lama untuk melakar tamadun bangsa bagi kelangsungan generasi bermaruah dengan panggilan keramat “Cikgu”
“Mohd. Nazri, Salina dan Nur Isma, guru SM St. Mary, Sandakan, Sabah dianugerahkan Johan Keseluruhan Anugerah Guru Inovatif peringkat Kebangsaan…”
Aku menaik ke pentas utama untuk menerima piala pusingan, piala iringan, cek dan sijil dengan perasaan girang. Aku tersenyum cuma. Ribuan kelipan cahaya bersinar di setiap penjuru.
“Tuninipot, hari ini, aku jadikan impian mu satu kenyataan” Jauh disudut hati kecil berkata akan ku luaskan Saguon dan Tuninipot-tuninipot ini terus menyinari segenap penjuru dunia.
Selendang daun anyaman tuninipot  “Terima Kasih, Cikgu” tergantung indah di dahan pepohon kayu Sonneratia Caseolaris di di tebing Sg Madang, Sandakan.





* Tuninipot panggilan untuk Kunang-kunang atau kelip-kelip (Firefly) dalam bahasa suku kaum Runggus.